Tuesday, October 27, 2009

Barbie Malaysia

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

"SEJAK umur tujuh tahun lagi saya memang menyukai keunikan rekaan persalinan yang ada pada patung Barbie dan selalu berangan untuk menghasilkan koleksi fesyen sendiri untuk rangkaian anak patung itu.

"SEJAK umur tujuh tahun lagi saya memang menyukai keunikan rekaan persalinan yang ada pada patung Barbie dan selalu berangan untuk menghasilkan koleksi fesyen sendiri untuk rangkaian anak patung itu.
"Sekiranya berkunjung ke rumah saudara, saya pasti akan curi-curi membelek patung berkenaan tanpa jemu serta menyiapkan pakaian daripada kertas untuknya.
"Tidak sangka, impian itu tertunai hari ini dan berbaloi meskipun menunggu bertahun lamanya kerana akhirnya saya berpeluang mereka pakaian mengikut cita rasa sendiri," kata pereka terkenal, Eric Choong.
Dia antara lima pereka tempatan yang dipilih untuk mereka pakaian bagi Barbie sempena ulang tahun ke-50 jenama patung popular berkenaan.

Selain Choong, empat lain pereka iaitu Datuk Tom Abang Saufi, Khoon Hooi, Datuk Lewre Lew Fong Voon serta Melinda Looi, masing-masing mereka tiga rekaan iaitu satu bersaiz dewasa manakala dua lagi pada saiz patung untuk majlis lelongan amal yang akan diadakan 14 November depan.

Semua hasil jualan akan didermakan kepada rumah kebajikan yang dipilih sendiri oleh setiap pereka.


Menurut Choong, dia amat menggemari gaya fesyen vintaj yang tampak seakan klasik tetapi masih diminati sehingga hari ini.


Rekaan Choong kali ini dihasilkan daripada ilham ikon fesyen Audrey Hepburn yang bukan saja seksi tetapi sofistikated dan penuh keyakinan.
"Untuk lelongan berkenaan, saya akan menghasilkan sehelai gaun moden (saiz dewasa) dan dua lagi pada saiz patung berkenaan.


"Ia menggunakan fabrik sutera satin rona merah terang yang turut dihiasi kristal swarovski yang berkilauan.


"Berbanding ukuran biasa, proses untuk menghasilkan pakaian mengikut saiz patung Barbie bukan mudah kerana memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi dalam menyiapkannya dengan jahitan tangan sepenuhnya," katanya.


Pereka ternama, Datuk Tom Abang Saufi, berkata Barbie bukan asing lagi dalam kehidupan keluarganya kerana dua anaknya, Izora dan Iman, turut menggemari permainan patung berkenaan ketika kecil.
Kata Tom, selain menjadi patung mainan untuk anaknya, dia menggunakan Barbie sebagai rujukan fesyen terutama pada sekitar 70-an hingga 90-an.


"Saya pernah melihat patung ini dalam baju kebaya lewat 70-an dulu dan kini, masyarakat akan menyaksikan rekaan baju saya pula pada patung berkenaan.


"Untuk koleksi berkenaan, saya akan menghasilkan gaun yang sarat dengan elemen glamor hiasan kristal (crystallized by swarovski).
"Saya berasa berbangga kerana patung ini memang dikenali di seluruh pelosok dunia," katanya yang mengakui akan mengambil peluang itu untuk meyakinkan anak serta anak saudaranya mengenai kerjanya dalam bidang berkenaan.


Dalam pada itu, pereka kasut terkenal, Lew berpendapat jenama patung itu mampu mengangkat sesuatu aliran dan gaya fesyen ke peringkat yang lebih tinggi.


Lew yang bekerjasama dengan empat pereka berkenaan berkata, semua gadis mengimpikan untuk memiliki sepasang kasut yang bukan saja tampak feminin malah tidak ketinggalan zaman.


"Barbie sering dijadikan ilham dalam rekaan pada setiap musim. Kebanyakan rekaan menggabungkan rona merah jambu serta keunikan gaya patung itu sendiri.


"Justeru, saya berasa sangat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Barbie, jenama antarabangsa yang sememangnya amat sinonim dengan industri fesyen berkenaan," katanya.